Sunday 9 August 2020

Wicked Love 36

Snow mengetuk pintu kabin Ice. Semalaman dia menunggu Ice, namun tiada khabar berita yang diterima daripada lelaki itu.

Perasaan marah Snow mula kendur diganti dengan perasaan risau. Mereka berdua sepatutnya sudah bergerak menuju ke stesen Sky Train pagi tadi untuk menuju ke Negara Angin.

"Ice, awak kat rumah ke? Tolong buka pintu ni." Snow masih menunggu dengan sabar. Kelopak matanya sudah bertakung dengan air panas.

Memang sejak akhir-akhir ini dia perasan kelakuan Ice yang agak dingin. Mungkinkah Ice sudah bosan dan bertindak meninggalkan dirinya?

Snow menggeleng. Tak mungkin Ice akan buat begitu. Dia mahukan penjelasan daripada Ice.

Snow bergerak ke tingkat bawah. Dia mahu ke cafe, mungkin semalam Ice singgah di sana akibat terlalu penat untuk kembali pulang ke kabin.

Snow mengambil langkah seribu menuju ke Cafe House. Namun pencarian Snow berakhir dengan perasaan hampa. Pintu Cafe House masih berkunci dari luar. Malah di dalam cafe juga tiada tanda-tanda dimasuki seseorang.

Snow kemudiannya terduduk memeluk lutut di hadapan pintu cafe. Dia sudah lelah mencari Ice.

"Ice, where are you?"Empangan matanya pecah jua.

Di mana lagi dia mahu mencari Ice?

Ketika hampir putus asa, bunyi desahan kuda menarik perhatian Snow. Kereta kuda yang pemiliknya tidak dikenali oleh Snow melintas laju meninggalkan dirinya. Baru Snow teringat bahawa Ice menyewa kuda untuk ke ladang Encik Henderson semalam.

Mengingatkan itu laju sahaja Snow ke bangsal Remy, pemilik ladang kuda yang menyediakan khidmat kuda sewaan. Ice sering menyewa Bear daripada Remy. Pada tanggapan Snow, mungkin Remy tahu di mana Ice sedang berada.

Tetapi Snow menjadi semakin tertanya-tanya apabila Remy menyatakan dia tidak tahu di mana Ice.

"Sumpah aku tak tipu. Pagi tadi aku nampak Bear dah ada depan kedai. Tapi aku pelik juga sebab Ice tak ada. Dengan tali Bear tak diikatnya. Nasib baik takde orang curi kuda aku ni."

Snow sesak nafas. Apa dah jadi dengan Ice?

Remy pula menjadi serba-salah melihat keadaan Snow.

"Dia tak ada kat rumah, Rem. Kat cafe pun tak ada." Snow bersuara sambil menahan tangis.

Remy menggaru cuping telinga. Lemah betul semangatnya melihat gadis menangis. Hidung, pipi dan mata Snow sudah memerah menandakan gadis itu sudah banyak menangis.

"Kau jangan risaulah. Aku rasa nanti dia balik tu. Kalau aku jumpa dia nanti, aku bagitau kau." Pujuk Remy dengan harapan agar Snow berhenti menangis.

Snow diam seakan berfikir, sebelum menyoal Remy. "Rem, aku nak sewa kuda satu. Aku nak pergi ladang Encik Henderson"

Remy merenung wajah penuh mengharap Snow. Dia menjadi tidak sampai hati pula mahu menolak permintaan Snow.

"Okay, tapi aku tak boleh bagi Bear. Aku pun tak tahulah apa masalah kuda seekor ni. Lain macam je sejak semalam. Nanti aku carikan kuda lain untuk kau. Tunggu sekejap," Kata Remy.

Snow kembali bersemangat. Dia akan mencari Ice sehingga ke lubang cacing.
Harapannya kini ialah bertemu dengan Encik Henderson.


          Ladang Encik Henderson sunyi sepi ketika Snow tiba dengan menunggang kuda sewa milik Remy. Kuda yang diberi nama Sailor itu berhenti di hadapan pintu rumah agam Encik Henderson.

Snow turun dari belakang Sailor, mengikat tali kuda itu di sebatang pokok sebelum berjalan ke pintu utama rumah agam Encik Henderson.

Loceng rumah yang berbentuk besi bulat diketuk beberapa kali oleh Snow.

"Encik Henderson, Pak cik ada kat rumah tak?!" Laung Snow.

Snow cuba meninjau keadaan di dalam rumah, namun pandangannya terhalang oleh langsir tebal yang terpasang di tingkap. Hairan juga, sebab selalunya pada waktu siang hari begini langsir di rumah Encik Henderson akan diselak ke tepi. Snow tahu tentang itu kerana dia sering kali berkunjung ke ladang Encik Henderson ini.

Selepas beberapa lama menunggu, pintu rumahnya dibuka separuh oleh Encik Henderson. Raut wajah Snow yang sembap menyapa penglihatan mata Encik Henderson.

Meskipun begitu, Snow masih cuba menyembunyikan kegelisahan hatinya dengan mengukir senyuman.

"Selamat petang pak cik. Maaf ganggu, saya cuma nak tanya pak cik. Erm, Semalam Ice ada datang tak?"

Encik Henderson menjatuhkan pandangan beberapa saat ke lantai sebelum mengangguk.

Snow menjadi sedikit lega. Bererti Ice ada datang ke sini, makanya pasti Encik Henderson tahu ke mana Ice pergi.

"Oh, okay. Ice ada bagitahu tak ke mana dia pergi? Sebab dia tak balik rumah dari semalam. Dia ada beritahu pak cik apa-apa tak?" Tanya Snow lagi.

Dahi Encik Henderson berkerut seribu. Kepalanya dijegulkan ke luar rumah, melihat keadaan di sekeliling. Lagaknya seperti seorang pesalah.

"Kamu datang sorang?" Tanya Encik Henderson. Pandangannya terhenti pada kuda putih yang ditambat oleh Snow tidak jauh dari kawasan rumah.

"Ya, saya seorang. Erm, Ice ada kat dalam ke?"

Encik Henderson membuka pintu rumahnya, mengisyaratkan agar Snow segera masuk ke dalam.

Sedikit pelik dengan tingkah Encik Henderson, Snow menurut juga isyarat yang diberikan oleh Encik Henderson. Sebaik Snow melangkah masuk, Encik Henderson terus menutup dan mengunci pintu dari dalam.

"Snow..." Encik Henderson merenung tepat ke dalam anak mata Snow dengan wajah keruh.

Snow telan liur. "Kenapa pak cik?"

Encik Henderson kelihatan teragak-agak sebelum membuka soalan.
"Pak cik nak tanya, selama ni kamu tahu tak siapa sebenarnya Ice?"

"Maksud pak cik?" Snow tidak faham.

"Snow, pak cik dah lama kenal kamu. Pak cik faham kau gadis yang macam mana. Tapi, pak cik tak yakin dengan Ice. Sebab itu pak cik tanya, kamu tahu tak tentang diri Ice? Asal-usul dia, keluarga dia?"

Snow tidak senang hati. Benar, dia tidak pernah menyelidik lebih lanjut tentang kehidupan Ice.

"Kenapa pak cik tanya macam tu?"

Encik Henderson mengangguk mengerti. Wajah polos Snow cukup memberikan jawapan kepadanya bahawa Snow benar-benar tidak tahu.

"Mari, ada sesuatu yang perlu kamu tengok dan kamu akan faham maksud pak cik"


***

Tipu.

Semua ini hanyalah penipuan. Impian dan angan-angan yang menjadi permainan tidur semata-mata. Dan kini, dia perlu bangun daripada tidurnya yang lena dan menghadapi realiti.

Snow mahu menjerit marah. Tetapi, kepada siapa?

Kepada insan yang kini sedang terbaring kaku di atas katil Encik Henderson? Yang sedang bertarung antara hidup dan mati?

Aneh, lelaki yang sedang koma di atas katil Encik Henderson ini kelihatan mirip seperti Ice. Cuma yang berbeza ialah kulit Ice yang dikenali Snow tidak putih melepak tetapi agak gelap. Rambutnya hitam, bukan coklat keperangan.

Dan Ice yang dicintainya adalah lelaki kebanyakan, insan biasa yang yatim piatu. Merantau ke negara orang untuk memulakan hidup baru. Bukan Putera Ice, pewaris takhta negara Iceland.

Snow memang tidak mahu percaya, namun dia akhirnya harus menelan segala kepahitan ketika Encik Henderson menunjukkan sehelai kertas iklan daripada kain sutera yang memaparkan detail tentang kehilangan putera Iceland.

Dan gambar yang tertera di dalam iklan itu adalah Ice.

"Saya tak tahu. Sumpah saya tak tahu," Snow terduduk melutut di lantai. Hatinya terasa dirobek-robek di kala ini. Pun begitu dia tidak lepas dari menatap tubuh kaku Ice di atas katil.

Hampir seluruh tubuh Ice berbalut dengan kain putih. Lebam bewarna hijau dan biru melata di seluruh bahagian atas tubuh Ice yang tidak dilapisi selimut.

"Pak Cik percayakan kamu, Snow. Kamu dah macam anak pak cik sendiri. Sebab tu, pak cik tunggu penjelasan dari kamu." Encik Henderson menggeleng kesal.

Snow mengesat air jernih yang mengalir lesu di pipi. " Ini semua tak mungkin kan. Macam mana dia boleh ubah diri?"

"Pak cik percaya, Ice menggunakan ilmu tertentu untuk mengubah fizikalnya. Sesuatu yang orang sebut glamour potion. Macam mana dia boleh dapat potion ni, adalah satu misteri. Pak cik cuma pernah dengar tapi setahu pak cik tiada siapa yang boleh hasilkan potion ni lagi,"
Terang Encik Henderson.

Snow memegang kepala dengan kedua belah tangan. Tempurung kepalanya terasa ingin pecah. Sukar baginya mahu menghadam kebenaran yang baru diketahui olehnya ini.

Encik Henderson yang sedang berdiri di pintu bilik mendekati Snow. Kepala Snow diusap perlahan oleh Encik Henderson.

"Bangkai serigala jadian yang menyerang Ice, ada di dalam bangsal. Kalau pak cik lambat semalam, pasti Ice sudah tak bernyawa. Tapi, tak bererti dia sudah selamat." Encik Henderson mengeluh.

"Snow, perkara antara Snow dengan Ice akan menjadi rahsia pak cik sampai pak cik mati. Itu janji pak cik. Tapi, hubungan korang berdua ini cukuplah sampai di sini."

Snow menoleh ke arah Encik Henderson. Bibirnya menggigil, menahan sebak. Encik Henderson menggenggam kedua belah bahu Snow.

Encik Henderson berdiri perlahan-lahan. "Pak cik dah hubungi keluarga Ice. Maafkan pak cik. Tapi Ice semakin tenat, dia perlukan bantuan perubatan yang lebih baik. Untuk itu, Ice harus pulang ke pangkuan keluarganya. Pak cik harap Snow faham."


***


Snow masih setia menunggu Ice, meskipun keluarga diraja Iceland dalam perjalanan ke ladang Encik Henderson untuk mengambil semula pewaris takhta negara itu.

Dia mahu menghabiskan sisa waktu yang ada untuk bersama dengan Ice untuk kali terakhir, sebelum mereka akan dipisahkan untuk selama-lamanya.

Dia sudah penat menangis. Sakit hatinya memang tidak terperi dirasakan, tetapi dia lebih takutkan kehilangan Ice.

Jari-jemari Snow menjalar ke rambut Ice. Kulit Ice begitu dingin sepertinya lelaki itu terkurung di dalam peti sejuk. Hanya dada Ice yang berombak perlahan, menandakan rohnya masih belum berpisah dari jasad.

"Ice, awak tengah tahan sakit ke? Awak tahan sikit ye, ibu dengan ayah awak dalam perjalanan ke sini. Or, should I say Tuanku Raja dengan Tuanku Permaisuri? Terukkan saya ni. Saya tak tahu macam mana nak address kerabat diraja" Snow senyum hambar.

Baru sekarang dia sedar, bahawa dia memang seorang yang bodoh. Begitu mudahnya dia jatuh cinta tanpa mengetahui lebih lanjut tentang diri Ice.

"Saya maafkan awak. Saya tak marah kalau selama ni awak cuma mainkan perasaan saya. Saya anggap semua ni karma sebab saya pun tak jujur dengan awak selama kita bersama." Snow meletakkan kepalanya perlahan-lahan ke dada Ice. Kedua tangannnya merangkul pinggang Ice.

"Banyak perkara yang awak tak tahu pasal saya. Saya bukan anak yatim, Ice. Saya juga bukan manusia biasa," Snow mengemaskan pelukan di tubuh Ice.

"Saya nak berterus-terang. Tapi dah terlambat. Sebab semuanya dah tak bermakna lagi untuk awak tahu. Betul cakap Pak Cik Henderson, hubungan kita perlu berhenti sampai di sini." 

Snow mengangkat kepala dari tubuh kaku Ice. 

"Terima kasih sebab ajar saya tentang perasaan ini. Dan saya janji akan terus cari awak pada bintang di langit malam. Saya sayangkan awak Ice, sangat-sangat"

          
          Pagar kayu yang menempatkan Wishing Well ditolak perlahan oleh Snow. 
Dengan langkah yang lemah, kakinya diatur menuju ke perigi sakti tersebut. 

Snow mengeluarkan sekeping coin dari dalam poket seluar. Coin silver di tangannya bersinar-sinar apabila dipanah oleh cahaya bulan. 

"Wishing Well, saya nak buat permintaan," Snow membaling coin tersebut ke dalam perigi. Perlahan-lahan coin tersebut tenggelam ke dasar perigi yang gelap.

"Saya harap...Ice akan sembuh. Saya harap Ice dan saya tak pernah berjumpa. Saya harap, Ice tak akan ingatkan saya dan hubungan kami. Saya harap, hidup dia akan lebih baik selepas ini. Tolong....tunaikan permintaan saya." Snow memegang batu-bata yang menjadi tempat takungan perigi Wishing Well.

"Tolonglah....sesiapa sahaja...tolong tunaikan permintaan ni." 

Snow merebahkan punggung di dinding perigi. Dia sudah putus asa, tidak tahu bagaimana untuk membantu Ice lagi. Kata Pak Cik Henderson, keberadaan Ice perlu dirahsiakan sehingga keluarga diraja Iceland tiba.

Lagi pula, tiada apa yang mampu mereka lakukan bagi membantu Ice meskipun dihantar ke hospital. Keadaan Ice susah nazak. Hanya menanti masa untuk kembali ke dunia kematian. 

Snow mengerdipkan mata berulang kali. Bebola cahaya kecil seperti salji yang turun menggamit perhatiannya.

"Master," Satu suara kecil memanggil.

Snow mengesat sisa air mata yang bertakung. Bulu romanya mencanak naik tiba-tiba. Dia memerhatikan sekeliling kawasan. 

Sunyi. Di kawasan perkampungan begini memang jarang ada yang mahu keluar di lewat malam begini.

"Master," 

Snow menoleh perlahan-lahan ke kiri. Bebola matanya bagai dipaku apabila terpandang sesuatu yang aneh. Dia menjerit apabila melihat buih jernih yang terapung. Bukan satu, bukan juga dua, tapi begitu banyak sehingga memenuhi kolam Wishing Well. 

"Master," Suara itu memanggil lagi. Tetapi kali ini Snow melihat seorang perempuan cantik dengan saiz sebesar ibu jari di dalam Wishing Well.

"Kkau ni siapa?" Snow pantas berdiri, hampir-hampir dia tersadung ke tanah akibat terkejut.

"Master, it is I. Lilith, the queen of water nymph. Kami dah datang, menyahut seruan Master. "

Snow bingung, tidak mengerti meskipun gadis cantik di dalam Wishing Well mempamerkan senyuman. 

"Apa?" 

"Kami sedia memenuhi permintaan, Master,"

***

Seminggu sudah berlalu sejak Ice diambil pulang ke Iceland. Bagi menjaga nama baik keluarga diraja Iceland, Encik Henderson dipaksa menandatangani sebuah surat perjanjian agar berita tentang Ice tidak dihebahkan atau Encik Henderson akan menanggung akibat yang sangat serius.

Kata Encik Henderson, dia hanyalah seorang lelaki tua, tiada kepentingan di dalam hidup melainkan ingin menghabiskan sisa hidup dengan aman damai. Dia tidak berminat mahu menjual cerita mengenai pewaris takhta itu.

Malah, bangkai serigala jadian yang berjaya dibunuhnya itu diserahkan kepada keluarga diraja itu dengan senang hati.

"Nampak seperti anda semua sudah cukup ramai musuh. Saya tidak mahu membuang masa dengan menjadi salah seorang daripada mereka," Ejek Encik Henderson.

Dia sebenarnya geram dengan sikap bongkak keluarga diraja itu. Benarlah seperti omokan orang, keluarga diraja Iceland semuanya bersikap sombong dan memandang rendah penduduk dari negara lain. Daripada keluarga diraja sehingga rakyat kebanyakan, sama sahaja sikap mereka.

Sempat dia berpesan, agar keluarga diraja itu menjaga pewaris takhta mereka dengan lebih baik.

"Siapa tahu, entah kerosakan apa lagi yang bakal dilakukan olehnya," Ujar Encik Henderson secara berselindung. Dia kasihan pada Snow.

Bayaran emas yang ditawarkan oleh keluarga diraja itu ditolak mentah-mentah oleh Pak Cik Henderson. Padan sahaja Snow tidak berjodoh dengan Ice.

Rasa benci mula terselit di dalam hati Pak Cik Henderson. Mujur Ice sudah kaku bertarung maut. Jikalau tidak, lunyai pemuda itu dibelasah olehnya. 

Snow, Gadis itu terlalu baik untuk disakiti  sebegini.

Encik Henderson duduk di sebelah Snow yang ralit merenung ke arah ladangnya yang menghijau. Sejak pemergian Ice, Snow seperti patung bernyawa. Hari-hari jika tidak menangis di dalam bilik, pasti dia akan duduk di beranda sambil termenung jauh.

Encik Henderson tidak membenarkan gadis itu tinggal di kabin sewanya. Manalah tahu jika Snow tiba-tiba terdetik mahu membunuh diri. Orang yang kecewa ini bukan boleh dijangka fikiran mereka.

"Saya akan pergi dari sini. Terlalu banyak memori dengan dia kat sini. Saya tak boleh teruskan hidup selagi saya ada kat sini," Ujar Snow perlahan.

Encik Henderson tidak terkejut. Dia sudah mengagak akan perkara itu. Bagasi Snow yang tersedia di depan pintu ruang tamu sudah cukup untuk menjelaskan kepada Pak Cik Henderson.

"Boleh pak cik tahu, ke mana kamu akan pergi?"

Pak Cik Henderson tidak terkilan. Dia faham andai Snow membuat keputusan seperti inj. Hanya dia agak keberatan untuk melepaskan Snow yang sudah dianggap bagai anak sendiri.

"Tak. Saya rasa lebih baik macam tu." Geleng Snow.

"Kamu tak nak cakap selamat tinggal pada Puan Mona dengan Maria?" Tanya Encik Henderson.

Snow menggeleng lagi. "Kalau mereka tanya, cakap je pak cik tak tahu. Itu lebih baik."

"Kalau itu keputusan kamu, siapalah pak cik ni untuk menghalang. Cuma yang pasti, rahsia kamu dengan Ice akan pak cik bawa sampai mati," Janji Encik Henderson.

"Terima kasih, pak cik"

"Tapi dengan syarat. Snow kena janji dengan pak cik. Janji yang kamu akan okay,"Pinta Encik Henderson.

Snow mendongak, melihat taburan bintang yang bersepahan di dada langit. 

'If you miss me, Just look at the star. And I'll be there'

Bisikan suara Ice terngiang di cuping telinga. 

"I will," Akhiri Snow.

No comments:

Post a Comment

Mirna 9

"Here is the plan. Untuk mengaburkan mata orang ramai di sini, saya akan jadi ayah awak berdua. Kita datang ke sini untuk bercuti selep...