Saturday 6 July 2019

Wicked Love 35

Snow lihat jam di pergelangan tangan. Sudah lewat dua jam, dan Ice masih belum pulang dari ladang Encik Henderson. Cafe House akan ditutup selama dua minggu mulai esok, kerana Maria akan melangsungkan perkahwinan dengan tunangannya.

Perkahwinan kedua mempelai akan diadakan di tempat asal tunang Maria iaitu di Negara Angin. Maka Puan Mona memberi kebenaran kepada Snow dan Ice untuk bercuti dan sama-sama menghadiri hari bahagia Maria. Puan Mona juga sebenarnya mahu mengambil kesempatan untuk ke Negara Angin kerana dia tidak pernah ke negara itu.

"Puan Mona ikut saya sekali kan malam ni?" Maria inginkan kepastian daripada Puan Mona.

Kalau ikut perancangan, mereka akan berangkat ke Negara Angin dengan Sky Train malam ini. Snow dan Ice pula akan bergerak pada awal pagi esok. 

"Of course darling. "Balas Puan Mona. Dua buah bagasi besarnya sudah tersedia di rumah. Tidak sabar rasanya mahu ke negara angin dan melihat Maria dalam gaun perkahwinan. "Lepas ni Snow dengan Ice pula,"

Merah padam wajah Snow. Dia pura-pura tak mendengar sedangkan Maria sudah ketawa mengilai.

"Eh, lambat pula Ice," Maria menjenguk ke hujung jalan melalui cermin dinding kaca cafe. 

"Agaknya sebab hujan tadi, jadi dia berteduh di mana-mana," Ujar Puan Mona. 

Cafe sudah siap dikemas dan mereka kini ingin berangkat pulang. Selepas mengambil beg, Puan Mona dan Maria akan bergegas ke stesen Sky Train.

"Snow, kau nak balik sekali ke nak stay dulu?" Tanya Maria.

"Saya stay boleh? Nak tunggu Ice." Snow meminta izin daripada Puan Mona. 

"Balik dululah. Kan Ice dah pesan kat kau jangan tunggu dia kat cafe." Cadang Maria. 

"Betul juga. Lagipun, sekarang ni kan tengah panas pasal binatang buas yang sedang berkeliaran di kawasan Greentown village ni. Bahaya kalau awak tinggal seorang di sini," Puan Mona menyokong kata-kata Maria.

Dua hari lepas, kecoh di Goldcrest Village mengenai ladang ternakan seorang petani yang diserang binatang buas. Hampir 50 ekor kambing biri-birinya ditemui mati dengan kesan dimakan.

"Tapi, sebelum ni tak ada pula kes macam ni. Kat sini ada binatang buas ke Puan Mona?" Maria tidak percaya dengan cerita tersebut. 

Pasti ada budak-budak nakal, ataupun pengunjung dari luar yang membuat onar. Sebelum ini penduduk di Goldcrest hidup aman damai. Berita tentang binatang buas juga tidak pernah kedengaran.

"Entahlah. Saya pun tak pasti. Tapi, kata mereka yang lebih berpengalaman, memang nampak kesan dimakan binatang." Puan Mona memberitahu Maria perkara yang didengarinya daripada mulut orang.

Dia bukanlah penternak, manalah dia tahu tentang kesan serangan binatang buas. Tapi kalau dah begitu yang dikatakan orang yang lebih pakar, maka begitulah.

"Kat sini mana ada kambing biri-biri. Takkanlah binatang buas nak datang kat cafe ni" Snow berkeras mahu menunggu.

Puan Mona mengeluh. Kadang-kadang kedegilan Snow memang tak boleh dibawa bincang.

"ok, tapi janji jangan lupa kunci cafe dari dalam." Puan Mona menghulurkan segugus kunci kepada Snow.

Maria juga beralah. Kalau dia bertekak dengan Snow, nanti mereka akan ketinggalan Sky Train pula. 

"Kami pergi dulu, Snow. Jumpa nanti di sana tau." Pesan Maria. Jaket luarnya disarung ke tubuh.

Snow sekadar mengangguk, menghantar Maria dan Puan Mona sehingga ke pintu cafe. Tunangan Maria sudah menunggu di dalam kereta yang diletakkan di hadapan cafe.

Sebaik Maria menghampiri, lelaki itu dengan gentleman membukakan pintu untuk Maria serta Puan Mona. Sempat lagi dia melambai ke arah Snow yang tercongok di depan pintu.

Snow membalas lambaian tunangan Maria tersebut sebelum menutup pintu cafe. Kereta tunangan Maria membelah jalan, meninggalkan Snow sendirian di dalam Cafe House. Di luar, cuaca yang semakin membuatkan hati Snow kian resah. 
Snow duduk di sebuah kerusi yang menghadap ke lorong menuju kawasan pekan. Kalau Ice pulang nanti, dia akan melalui jalan itu.

Snow terus menopang dagu sambil anak matanya terus merenung ke hujung lorong, mengharapkan agar Ice segera muncul. 

"Ice, where are you. Cepatlah balik," 

***

Ice menepuk-nepuk badan Bear, kuda yang disewa untuk ke ladang Encik Henderson. Kuda tersebut merengus, sesekali mendesah bagaikan resah.

Ice melompat turun dari belakang badan Bear. Kuda ini seringkali disewa olehnya setiap kali ingin ke ladang Encik Henderson. Tetapi hari ini dia terlewat pulang, terkandas di ladang Encik Henderson akibat hujan yang turun mencurah-curah.

Batang kayu besar yang tumbang di hadapannya ditenung oleh Ice. Pelik sebab ketika dia datang tadi tiada pula batang pokok besar yang menghalang jalan. Malah, petir pun tiada andai kata batang pokok ini tumbang dipanah petir.

Ice memerhatikan ke sekeliling kawasan yang suram, hanya ada pokok-pokok hutan dan sebuah lorong kecil yang jarang digunakan orang. 

Boleh sahaja dia melalui lorong kecil tersebut untuk pulang ke Goldcrest, tetapi masih berbahaya memandangkan sekarang keadaan semakin gelap.  

Ice berkira-kira sama ada mahu melalui lorong kecil tersebut atau tidak. Fikirannya mula teringat kepada Snow. Pasti gadis itu masih menunggu di cafe. Rasa rindu mula membuak di hati Ice.

Entah mengapa, dia terasa ingin menemui Snow. Dia mahu memeluk Snow, menghidu bau wangian rambut Snow dan memberitahu Snow bahawa betapa dia sangat sayangkan gadis itu.

Ice nekad, dia akan melalui lorong kecil tadi. Dia mahu segera kembali ke pangkuan Snow. Ice memanjat kembali belakang Bear. Tali yang mengikat kepala Bear dihalakan ke arah lorong kecil yang menuju jalan pulang ke Goldcrest.

Bear mendesah, enggan mengikut arah jalan yang ditunjukkan oleh Ice. Selepas beberapa kali dipaksa, Bear akhirnya menurut arahan Ice, tetapi langkahannya begitu perlahan.

Ternyata Bear naluri Bear lebih halus, kerana ada sesuatu sedang menunggu kedatangan Ice dengan penuh sabar di dalam lorong tersebut.

Dalam keadaan sedikit kabus, Ice melihat satu bayangan besar menghala ke arahnya. Tanpa sebarang pamitan, Bear tiba-tiba mendesah, melambungkan tubuh Ice yang berada di belakangnya.

Sukar mengawal Bear, Ice pantas melompat turun ke tanah dan menjauhi Bear. Kuda tersebut berpaling semula ke belakang dan mengorak langkah seribu.

Suara ketawa berkumandang sebaik Ice menegakkan diri. Seorang lelaki muncul dan tersengih ke arah Ice. Jaket kulit bewarna hitam dan seluar khaki berjenama yang dipakainya menunjukkan dia bukan penduduk dari Goldcrest. Barangkali salah seorang pengunjung yang datang.

Ice dapat merasakan aura tidak enak terpancar daripada pemuda di hadapannya. 

"Its nice to see you, Prince,"

Ice kehilangan kata-kata. Lelaki di hadapannya ini, tahu tentang identiti sebenarnya?

***

Tok! Tok!

Bunyi ketukan di cermin membuatkan Snow terlompat di atas kerusi. Snow memejam celikkan matanya beberapa kali. Entah bagaimana dia boleh tertidur di meja cafe. 

Tok! Tok! 

Snow menoleh ke arah pintu cafe. Pak Cik Junior, lelaki tua yang boleh dikira sebagai penghulu di Goldcrest berdiri di luar pintu. Beberapa orang lelaki turut bersama dengannya sambil membawa lampu tanah.

Snow bingkas bangun dan membuka pintu cafe. Sempat dia melihat jam di tangan. Sudah pukul dua pagi. Bererti sudah enam jam dia menunggu Ice di cafe.

"Pak cik, ada apa ramai-ramai ni?" 

"Pak Cik yang patut soal kamu. Kenapa kamu masih di sini? Bukankah pak cik dah keluarkan arahan agar tiada sesiapa yang berkeliaran di luar rumah pada waktu malam? Kalau kamu diserang binatang buas bagaimana?" Pak Cik Junior memulakan mukadimah.

Luruh jantungnya tatkala melihat Snow sedang tidur sendirian di dalam cafe. Tidak sepatutnya gadis seperti Snow berada di luar rumah lewat pagi begini.

Snow menggaru kepala lantas meminta maaf. "Saya tunggu Ice, pak cik." 

"Lah, entah-entah esok baru dia pulang ke sini. Kamu pun tahukan cuaca sekarang asyik hujan. Kalau nak tunggu, di rumah pun boleh. Sudah, mari pak cik semua temankan kau balik." Pak Cik Junior menggeleng kesal dengan kedegilan Snow.

Sebagai penghulu di Goldcrest ini, dia bertanggungjawab akan keselamatan semua penduduk di sini. Dan dia sangat tidak suka pada orang yang melanggar usahanya untuk cuba menyelamatkan nyawa.

Dalam keterpaksaan, Snow terpaksa menurut. Rasa geram dan risau menjadi adunan sebati di dalam hati Snow. Sampai hati Ice tidak pulang, membiarkan dia menunggu keseorangan di cafe.

Selepas Snow mengunci pintu cafe, Pak Cik Junior dan rakan-rakannya menghantar Snow sehingga ke tempat penginapan. 

"Lain kali jangan buat begini lagi. Selagi kes binatang buas ini tidak selesai, jangan keluar rumah malam-malam, mengerti?" Pak Cik Junior memarahi Snow. Dia memang sedikit garang orangnya. 

Snow sekadar mengangguk. Pak Cik Junior dan rakan-rakannya meninggalkan Snow untuk memulakan kerja pencarian mencari binatang buas yang mungkin berkeliaran di Goldcrest.

Snow bungkam. Sudahlah Ice tidak balik, percuma lagi kena bebel dengan Pak Cik Junior. Snow memegang dada yang terasa sakit.

Kenapa jantungnya berdebar?

***

Srap!

Lolongan serigala jadian bergema nyaring. Pedang ais bercahaya biru merobek isi dadanya menembusi ke jantung. Darah merah kehitaman memancar keluar ibarat paip pecah daripada tusukan pedang tersebut, menamatkan riwayat serigala jadian tersebut dengan serta-merta.

"Arghhh!!!" Ice menarik pedangnya ke belakang dengan sekuat tenaga, menjauhkan diri beberapa tapak daripada serigala jadian yang sudah maut.

Cak!

Pedang Ice tertusuk ke dalam tanah. Kedua lututnya mencecah bumi, sambil sebelah tangan memegang perutnya yang terkena cakaran kuku serigala jadian.

Dengan sisa tenaga yang tinggal suku, tapak tangannya mengeluarkan ais yang menutup tempat kecederaan. Ice cuba menghentikan pendarahan yang berlebihan. Namun, bisa daripada torehan kuku serigala jadian tadi begitu cepat menjalar ke dalam tubuh. Menggeletar badan Ice menahan kesakitan.

Empat ekor serigala jadian yang menyerangnya sudah kaku menjadi mayat.
Namun ternyata perjuangan Ice tidak habis di situ. Bebola matanya menyoroti langkah seekor lagi serigala jadian yang muncul dari dalam semak tebal. Lagaknya meyakinkan Ice, bahawa pertempurannya dengan dua ekor serigala jadian tadi hanyalah semi-final.

Ice meludah air liur yang bercampur darah ke tanah. "Siapa...hantar kau?" 

Ice tahu penyerangnya ini merupakan rogue, iaitu serigala yang tidak diterima dalam sesebuah pack. Perkara itu dapat dipastikan dengan jelas hanya dengan melihat warna mata mereka. Kebiasaannya Rogue atau serigala jadian liar mempunyai mata yang merah. Mereka boleh dikatakan sebagai serigala gila.

Hal itu menghuraikan taktik serangan gerila yang dilancarkan terhadap Ice tadi.  Bermakna sesiapa pun lelaki jelmaan di hadapannya ini, tidak dihantar oleh pakatan werewolf. 

Jadi, siapakah yang mahu menamatkan riwayatnya? Dan yang lebih penting, bagaimana identitinya boleh diketahui?


Menyedari strategi penyerangnya, Ice menubuhkan benteng daripada ais beku sebanyak lapan lapisan. Perkiraan Ice sia-sia kerana dengan mudah bentengnya dicerobohi oleh serigala jadian.

Ice tercampak jauh ke tepi. Tubuhnya terseret dan berguling beberapa kali, melantun-lantun di atas tanah yang tidak rata sehingga pedang di tangannya terlepas agak jauh.

Tak!

Kepala Ice terhentak kuat pada sebuah batu. Ice merasakan kesakitan yang amat sangat di bahagian kepala. Sehabis daya dia cuba untuk bangun, namun usahanya sia-sia. Otot jari-jemarinya tidak mampu digerakkan. Saraf di dalam badan seolah-olah menjadi lumpuh.

Sementara itu serigala jadian melolong, meraikan kejayaannya menumpaskan pewaris Iceland. Lolongannya begitu kuat dan menggerunkan. Seandainya ada manusia biasa yang mendengar, bisa merosakkan gegendang telinga.

Rakus mengejar ganjaran yang ditawarkan, serigala jadian terakhir tadi berlari laju menerkam ke arah Ice. Ternyata dia tidak akan dapat bertemu dengan Snow untuk kali terakhir.

Dia akan pergi meninggalkan dunia ini dengan membawa cinta Snow. Tanpa sempat dia memberitahu gadis itu tentang rahsia identitinya yang sebenar. Tanpa sempat dia membina keluarga bersama gadis itu seperti yang selalu diimpikannya.

Snow, I'm sorry. Saya sayang awak, sangat-sangat.

Ice memejamkan mata, reda andai dia ditakdirkan mati malam ini. Dua saat kemudian tubuh Ice akhirnya menjadi kaku.

Serigala jadian membuka rahangnya luas-luas, menampakkan taringnya yang bersinar dek kerana tempias cahaya bulan. Air liurnya menitis-nitis ke tanah, bersedia untuk memisahkan kepala Ice daripada badan yang akan diserahkan kepada orang yang telah mengupahnya nanti sebagai trofi.





No comments:

Post a Comment

Mirna 9

"Here is the plan. Untuk mengaburkan mata orang ramai di sini, saya akan jadi ayah awak berdua. Kita datang ke sini untuk bercuti selep...